Rabu, 26 Oktober 2016

Testing...
 
 
Petua Mengelak Kemalangan Jalan Raya - InsyaAllah



Sebenarnya tulisan ini telah saya hantar kepada akhbar-akhbar harian baru-baru ini tetapi telah tidak disiarkan oleh mereka, mungkin atas sebab-sebab tertentu termasuk soal "logic". Mungkin mereka beranggapan, bagaimana selepas tersiarnya petua ini masih berlaku kemalangan? Soal berlaku atau tidaknya kemalangan adalah dalam ilmu Allah s.w.t. jua, namun kita wajib berusaha untuk mengelaknya. Kata orang maut jangan dicari. Andai berlaku juga kemalangan walaupun selepas tersiarnya petua ini ataupun selepas kita mengamalkannya, maka siapakah kita untuk menolak kudrat dan iradat Allah s.w.t.? Jika hanya dengan mengamalkan petua sebegini sudah memadai, nescaya ramailah orang yang hidup lama di atas muka bumi ini. Jadi, pemikiran logik sebegini adalah tertolak. Yang penting kita berbuat sesuatu untuk mendapatkan rahmat dan redha Allah s.w.t. dan kita digalakkan meminta perlindunganNya dari sesuatu musibah.

 

Dalam soal kemalangan jalan raya ini, kita sedar yang Kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit dalam kempennya untuk mendidik pemandu agar sentiasa berhemah di jalan raya, namun tidak banyak kadar kemalangan dapat dikurangkan. Walaupun bukan di musim perayaan, kemalangan tetap berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja jika kita cuai dan lupa diri. Meskipun saban tahun dan saban masa kempen agresif dijalankan, manusia tidak juga mahu mengubah sikap mereka untuk menjadi lebih berdisiplin dan berhati-hati di jalan raya. Pengaruh hawa nafsu dan sikap keras kepala dan berlagak di jalan raya merupakan factor utama mengapa kemalangan gagal dielakkan.

Menyedari bahawa sukarnya mengubah sikap manusia dan dalam masa yang sama kita perlu berhati-hati demi keselamatan diri sendiri dan keluarga, saya ingin memberikan beberapa petua atau amalan yang jika diamalkan oleh sesiapa yang ingin memandu, Insya Allah akan selamat dan mudah-mudahan dipelihara oleh Allah s.w.t. semasa di jalan raya. Diharapkan musim perayaan yang akan datang tidak lama lagi itu tidak menjadi "musim maut" di atas jalan raya berkat perlindungan yang diberikan Allah s.w.t. kepada mereka yang mengingatiNya. Saya percaya lalai dari mengingati Allah s.w.t. turut menjadi penyumbang kepada kemalangan kerana apabila manusia lupa kepada Allah s.w.t. maka syaitan akan bersarang di hatinya. Ini menyebabkan seseorang akan memandu mengikut hawa nafsu dan kehendak hati yang dibisikkan oleh syaitan.

Amalan ini boleh diamalkan oleh semua umat Islam sama ada yang memandu di jalan raya, memandu kapalterbang mahupun berada di atas kapal di tengah-tengah lautan. Ianya amat mudah diamalkan dan cuma mengambil masa beberapa minit sahaja untuk membacanya. Antara petua-petua yang perlu dilakukan apabila hendak memandu, terutama untuk perjalanan jauh adalah;

1. Pemandu hendaklah membaca Ayat Qursi 3 kali sebelum kenderaan mula bergerak. Pastikan suasana di dalam kenderaan senyap daripada sebarang suara atau bunyi ketika membaca ayat-ayat ini.

2. Kemudian bacalah ayat "Bismillahilladzi laa yadhuru ma'asmihi syai'un fil ardhi wala fis sama' wahuwas sami'ul 'alimm" , 1 kali.

3. Kemudian bacalah ayat " Hasbunallahu wa ni'mal wakill wala hawla wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'adzim" , 1 kali.

4. Kemudian berdoalah: "Ya Allah, peliharakanlah perjalanananku (dan ahli keluargaku) ini daripada segala musibah, baik pada diriku mahupun pada kenderaanku ini. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemelihara".

5. Kemudian barulah masuk gear pertama dan mulakanlah perjalanan sehingga selamat sampai ke destinasi.

Sebagaimana yang diterangkan di dalam banyak hadis dan kitab-kitab muktabar, kelebihan Ayat Qursi tidak dapat dipertikaikan lagi. Dan terdapat hadis-hadis yang menerangkan bahawa sesiapa yang membaca ayat Qursi untuk sesuatu tujuan, nescaya Allah s.w.t. akan mengutus malaikat untuk menjaganya. Oleh itu, marilah kita mengambil kesempatan ini demi keselamatan kita sekeluarga. Sungguhpun begitu, disiplin diri dan pemanduan berhemah merupakan sikap terpuji yang boleh menurunkan rahmat Allah s.w.t. untuk memelihara kita daripada sebarang musibah.

Semoga musim perayaan tahun ini dan perjalanan kita sehari-harian sentiasa dipelihara oleh Allah s.w.t. dari segala musibah dan kecelakaan. Dan mudah-mudahan petua-petua di atas mendapat berkat daripada Allah s.w.t., dengan syarat kita benar-benar ikhlas memohon perlindunganNya. Jangan pula beranggapan apabila membaca petua-petua di atas, kita boleh memecut kereta macam setan pula kerana Allah sudah tentu "melindungi" kita. Saya harap tidak ada orang yang waras akan berfikiran sedemikian